Warna Tema        
Saiz Tulisan -A A +A
 

Badan Pengurusan Bersama (COB)

PENGENALAN

Setiap kawasan pemajuan yang dikeluarkan hakmilik strata mempunyai bahagian bangunan dan kawasan yang dimiliki dan digunakan secara bersama oleh semua penghuni. Bangunan dan kawasan ini dikenali sebagai "Harta Bersama" seperti tangga, anak tangga, lif, bumbung, tangki air, kolam renang dan lain-lain.

  1. Harta Bersama ini perlu diurus dan disenggara bagi memastikan ianya dapat dimanfaatkan oleh setiap penghuni. Kos bagi tujuan tersebut perlu ditanggung secara bersama oleh setiap penghuni. Bagi memudahkan pengurusan, maka satu badan iaitu Badan Pengurusan Bersama (JMB) / Perbadanan Pengurusan (MC) yang mewakili setiap penghuni perlu ditubuhkan.
  2. Badan ini perlu mendapatkan mandat daripada penghuni bagi tujuan melaksanakan pengurusan dan penyenggaraan Harta Bersama tersebut. Sebarang keputusan badan ini perlu dibuat secara kolektif.

 

AKTA YANG BERKUATKUASA BAGI BANGUNAN BERBILANG TINGKAT

  1. Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) dan Peraturan-Peraturan Pengurusan Strata (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2015.
  2. Peraturan-peraturan Pengurusan Strata (Tribunal Pengurusan Strata) 2015.
  3. Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318) & Akta Hakmilik Strata (Pindaan) 2013 (Akta A1450).
img

PENUBUHAN JMB / MC

  1. ​Kewajipan pemaju untuk mengadakan mesyuarat pertama
    • Menjadi kewajipan pemaju untuk mengadakan mesyuarat pertama kesemua pembeli (JMB) / pemilik petak (MC)
    • Pemaju hendaklah memberikan suatu notis bertulis mengenai mesyuarat pertama kepada semua pembeli (JMB) / pemilik petak (MC) tidak kurang daripada 14 hari sebelum mesyuarat itu.
    • Jika pemaju gagal mengadakan mesyuarat pertama dalam tempoh yang dinyatakan, Pesuruhjaya boleh melantik seseorang untuk mengadakan mesyuarat pertama badan itu dalam masa yang dinyatakan oleh Pesuruhjaya.
    • Pemaju hendaklah, sehingga penubuhan badan dan tertakluk kepada peruntukkan akta ini, bertanggungjawab bagi penyenggaraan dan pengurusan harta.
    • Mana-mana pemaju yang tidak mematuhi subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM 250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.
    • Jawatankuasa JMB / MC terdiri daripada pemaju (hanya bagi JMB) iaitu tidak kurang daripada 3 orang pembeli dan tidak lebih daripada 14 orang pembeli yang hendaklah dipilih semasa mesyuarat agung tahunan JMB/MC dan hendaklah memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun berturut-turut bagi jawatan pengerusi, setiausaha & bendahari manakala 3 tempoh berturut-turut bagi anggota jawatankuasa pengurusan sepertimana peruntukan di bawah Perkara 2, Jadual Kedua, Akta Pengurusan Strata 2013.
  2. Keanggotaan JMB/ MC adalah seperti berikut:-
    • Pemaju (hanya bagi JMB)
    • Pengerusi
    • Setiausaha
    • Bendahari
    • 11 Orang AJK​
  3. Kelayakan untuk Menjadi AJK JMB /MC
    • Pemilik petak
    • Tiada tunggakan caj penyenggaraan
    • Hadir semasa mesyuarat pertama penubuhan JMB/ Mesyuarat Agung Tahunan
  4. Tugas JMB/ MC
    • Menyenggarakan harta bersama dengan sempurna dan menjaga harta bersama itu dalam keadaan yang baik dan pembaikan yang dapat digunakan.
    • Menentukan dan mengenakan caj yang perlu bagi pembaikan dan penyenggaraan harta bersama dengan sempurna.
    • Menginsuranskan dan terus menginsuranskan bangunan itu sebanyak nilai gantian bangunan itu terhadap kebakaran dan apa-apa risiko lain sebagaimana yang ditentukan oleh Badan.
    • Menggunakan wang insurans yang diterima oleh badan berkenaan dengan kerosakan kepada bangunan itu bagi bangunan itu dibina semula dan dipulihkan.
    • Mematuhi apa-apa notis atau perintah yang diberikan atau yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pihak berkuasa awam yang berwibawa yang menghendaki pemberhentian apa-apa kacau ganggu pada harta bersama, atau yang memerintahkan kerja pembaikan atau kerja lain yang kena dilakukan berkenaan dengan harta bersama itu atau pembaikan lain kepada harta itu.
    • Menyediakan dan menyenggarakan suatu daftar kesemua pembeli bangunan itu.
    • Memastikan bahawa akaun penyenggaraan dan akaun kumpulan wang penjelas diauditkan dan untuk menyediakan penyata kewangan yang teraudit untuk makluman kepada pembeli/ pemilik petak.
    • Menguatkuasakan undang-undang kecil bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan dengan sempurna.
    • Melakukan apa-apa perkara lain yang suai manfaat atau perlu bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan itu dengan sempurna.
  5. Kuasa JMB/ MC
    • Mengutip daripada pembeli/ pemilik petak caj penyenggaraan dan pengurusan berkadaran dengan unit syer yang diuntukkan bagi petak mereka masing-masing.
    • Membenarkan perbelanjaan bagi menjalankan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama.
    • Mendapatkan kembali daripada mana-mana pembeli/ pemilik petak apa-apa jumlah wang yang dibelanjakan oleh badan berkenaan dengan petak itu dalam mematuhi apa-apa notis atau perintah sebagaimana yang disebut di bawah perenggan (1)(e).
    • Membeli, menyewa atau selainnya memperoleh harta alih atau harta tak alih bagi kegunaan oleh pembeli/ pemilik petak berkaitan dengan penikmatan harta bersama mereka.
    • Mengatur dan mendapatkan perkhidmatan mana-mana orang atau ejen untuk mengusahakan penyenggaraan dan pengurusan harta bersama bangunan itu.
    • Membuat undang-undang kecil bagi penyenggaraan dan pengurusan bangunan itu dengan sempurna dan
    • Melakukan segala perkara yang semunasabahnya perlu bagi pelaksanaan tugasnya di bawah akta ini.​

​​​​​​SENARAI SEMAK PENDAFTARAN SIJIL PERAKUAN PENUBUHAN JMB DENGAN UNIT COB

  1. Surat daripada pemaju/JMB bagi penetapan nama badan disijil pendaftaran.
  2. Satu salinan lengkap perjanjian jual beli (S&P)- satu salinan lengkap pemilik petak sahaja.
  3. Salinan daftar pemunya petak yang lengkap.
  4. Satu salinan DMC (Deed & Mutual Covenant) – sekiranya ada.
  5. Satu salinan dokumen seperti berikut bagi setiap jawatankuasa JMB.
  6. Salinan kad pengenalan.
  7. Salinan perjanjian jual beli tertera nama dan nombor unit rumah.
  8. Satu salinan minit mesyuarat pertama JMB.
  9. Satu salinan notis mesyuarat pertama JMB yang dihantar kepada pembeli.
  10. Satu salinan senarai nama dan nombor telefon jawatankuasa JMB.
  11. Satu salinan borang pengundian untuk perlantikan jawatankuasa JMB.
  12. Satu salinan borang pengundian untuk keputusan usul mesyuarat – sekiranya ada.
  13. Satu salinan kehadiran pemilik petak pada mesyuarat pertama JMB.
  14. Satu salinan surat pelantikan proksi.
  15. Lain-lain dokumen yang diterima seperti:-
  16. Salinan geran hakmilik.​