Kuala Lumpur, 4 Julai 2023 - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bersama Sekolah Menengah Kebangsaan King George V (SMK KGV) dengan kerjasama Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) telah mengadakan Program GoGreen MBS 2023 bertemakan "Kenali Senibina Hijau" di PAM Centre, Kuala Lumpur yang dikelolai oleh Jabatan Kawalan Bangunan, MBS di bawah penyeliaan Puan Norhezlin binti Amat, Timbalan Pengarah Kawalan Bangunan, MBS
 
Program ini diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato' Masri bin Haji Razali, Datuk Bandar MBS dan turut hadir bersama Tuan Mas Midyawan bin Yahya, Setiausaha MBS telah menyempurnakan program ini dengan penyampaian sijil penghargaan dan gimik pelepasan peserta program yang terdiri dari 2 orang guru pengiring dan seramai 25 orang pelajar SMK KGV di lobi Wisma MBS.
 
Program GoGreen MBS 2023 kali ini tampil dengan tema dan konsep berbeza ( outdoor learning) di mana pihak MBS telah membawa para pelajar mengenali Senibina Hijau secara lebih dekat dengan menjadikan bangunan PAM Centre sebagai rujukan terbaik diantara bangunan senibina hijau terbaik yang ada di Malaysia.
 
Bangunan PAM Centre terpilih bagi program ini kerana bangunan ini mempunyai ciri-ciri elemen hijau seperti penggunaan pengudaraan dan pencahayaan yang optimum dan sangat efektif meliputi seluruh ruang dan pengurangan penggunaan sistem penghawa dingin terhad kepada ruang tertentu sahaja. Di samping itu bangunan ini juga dilengkapi panel solar sebagai sumber tambahan untuk tenaga elektrik serta alat peneduh matahari di fasad hadapan dan belakang bangunan yang meningkatkan nilai kualiti bangunan ini terutama dari aspek kehijauan.
 
Selain itu, pelbagai aktiviti-aktiviti yang menarik telah disediakan oleh pihak PAM seperti taklimat senibina hijau bangunan PAM Centre oleh Prof. Madya Ar. Adrianta bin Aziz, Timbalan Presiden PAM, lawatan sekeliling bangunan PAM Centre, pertandingan kreatif membina struktur dari bahan terpakai serta penyampaian sijil penyertaan dan hadiah kepada para peserta program.
 
 
gogreen
 
 
gogreen
 
gogreen