1. Sebarang perubahan Cukai Taksiran adalah disebabkan perkara-perkara berikut (Seksyen 144, Akta 171).:-
- Pengeluaran Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi bangunan-bangunan baru.
- Perubahan lot tanah kosong kepada lot berbangunan.
- Pindaan terhadap ubahsuai bangunan sedia ada yang telah dilakukan.
- Pertukaran syarat kegunaan tanah / pengeluaran hakmilik.
- Lot-lot tanah yang baru menerima hakmilik.
2. Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian
Notis Kenyataan Pindaan Senarai Nilaian (KPSN) adalah notis pemberitahuan kepada pemilik atau pemunya harta tentang perubahan Nilai Tahunan harta mereka yang akan mengakibatkan perubahan kepada amaun cukai taksiran setahun. Notis KPSN akan dikeluarkan sebanyak 2 kali setahun kepada pemilik atau pemunya harta yang terlibat dengan pindaan nilaian.
3. Bantahan Ke Atas Pindaan Senarai Nilaian
Bagi pemilik yang terlibat dengan pindaan Senarai Nilaian ini, jika tidak berpuas hati dengan Nilai Tahunan yang dicadangkan boleh membuat bantahan sebagaimana yang diperuntukan dibawah Seksyen 142, Akta 171. Alasan-alasan bantahan seperti berikut:-
- Bahawa sesuatu pegangan yang baginya dikenakan kadar adalah dinilai lebih daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar.
- Bahawa sesuatu pegangan yang dinilai adalah pegangan yang tidak boleh dikenakan kadar.
- Bahawa seseorang atau pegangan yang sepatutnya termasuk dalam Senarai Nilaian itu adalah ditinggalkan daripadanya;
- Bahawa sesuatu pegangan adalah dinilai kurang daripada nilainya yang boleh dikenakan kadar; atau
- Bahawa sesuatu pegangan atau pegangan-pegangan yang telah diniliai secara bersama atau berasingan sepatutnya dinilai secara lain.
Bantahan yang tidak berkaitan dengan perkara di atas tidak akan dipertimbangkan.