Majlis Penyempurnaan & Penghargaan Mural @ Nutriplus

Seremban, 2 Oktober 2025 – Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakat & Pelancongan serta Jabatan Kawalan Bangunan telah menganjurkan Majlis Penyempurnaan & Penghargaan Mural @ Nutriplus yang diadakan di Jalan Dr. Krishnan, Seremban. Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban. Turut hadir ialah Encik Yap Chor Wen, Pengarah Operasi Nutriplus selaku wakil Syarikat Lay Hong Berhad; Tuan Ir. Ts. Br. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha MBS; Puan Azura binti Abu Hassan, Pengarah Pembangunan Masyarakat & Pelancongan; dan Puan Norhezlin binti Amat, Pengarah Kawalan Bangunan. Kempen seni mural ini merupakan sebahagian daripada inisiatif “Rasa dan Warna” oleh Nutriplus, yang bertujuan mempromosikan makanan tempatan melalui seni visual yang berinspirasi daripada budaya setempat, di samping menggalakkan interaksi bersama komuniti. Mural hasil sentuhan artis Yaulacap ini menonjolkan warisan budaya Negeri Sembilan, dengan latar belakang menampilkan Istana Ampang Tinggi, mercu tanda yang diinspirasikan seni bina Minangkabau. Di bahagian hadapan pula, digambarkan suasana masakan tradisional Negeri Sembilan, di mana seorang ibu mengajar anaknya menyediakan masak lemak cili api bersama telur, hidangan ikonik yang melambangkan warisan dan identiti masyarakat setempat. Projek mural ini bermula pada 27 Mei 2025 dan siap sepenuhnya pada 31 Mei 2025, dengan kos peruntukan sebanyak RM40,000.00 yang ditanggung oleh Nutriplus. Seremban, Negeri Sembilan menjadi lokasi pertama yang dipilih untuk kempen mural ini, sekali gus menyokong usaha MBS memperindahkan bandar dan mempromosikan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026. Acara kemuncak menyaksikan gimik simbolik penyempurnaan mural oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban bersama Encik Yap Chor Wen melalui sesi menandatangani mural. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderamata dan agihan telur Nutriplus kepada hadirin serta orang awam di sekitar majlis. Projek ini bukan sahaja memperindah wajah bandar Seremban tetapi juga menyemarakkan apresiasi terhadap budaya Negeri Sembilan serta mengeratkan hubungan antara sektor swasta, pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat.

MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS
MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS
MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS MAJLIS PENYEMPURNAAN & PENGHARGAAN MURAL @ NUTRIPLUS