Seremban, 29 April 2025 – YBhg.Dato’ Masri bin Hj. Razali, Datuk Bandar merangkap Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah menyempurnakan perasmian Seminar Pembangunan dan Pengurusan Strata 2025 di Palm Seremban Hotel, Seremban. Turut hadir bersama adalah Ir.Ts Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban, Ahli-Ahli Majlis MBS serta Ketua Jabatan/Ketua Unit MBS.
Seminar anjuran Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Majlis Bandaraya Seremban ini telah dihadiri seramai 100 orang peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pihak pengurusan JMB/MC. Penganjuran seminar ini merupakan usaha berterusan dan komitmen pihak Majlis Bandaraya Seremban melalui Unit Pesuruhjaya Bangunan bagi memberikan pendedahan dan pemahaman kepada semua golongan khususnya yang terlibat secara langsung dalam pembangunan, pengurusan dan penyenggaraan pemajuan berstrata. Antara topik seminar pada kali ini adalah Tatacara penguatkuasaan undang-undang kecil JMB/MC, Kewajipan semasa tempoh pengurusan pemaju, Garis panduan pecah bahagi bangunan atau tanah untuk pengeluaran hakmilik strata dan isu berkaitan kebocoran antara tingkat.