|
SEREMBAN mempunyai potensi dibangunkan sebagai lokasi memerhati burung berprestij berikutan keberadaan lebih 100 spesies unggas termasuk ada antaranya berhijrah dari Jepun dan Korea Selatan. Ketua Pegawai Eksekutif Nature Educational Society (NEST) Malaysia, Sulaiman Salikan berkata, hasil pemerhatian dan kajian dilakukan pihaknya mendapati terdapat 111 spesis burung termasuk dari luar negara yang singgah di kawasan sekitar daerah Seremban.
Menurutnya, antara spesis itu termasuk yellow bittern, painted stork, grey heron dan black shouldered kite selain spesies burung hijrah
"Ada juga burung tempatan tetapi sebahagiannya bukan berasal dari tempat ini. Sebaliknya burung ini berhijrah dan enggan pulang ke tempat asal mereka. "Dalam ekspedisi yang kita lakukan baru-baru ini mendapati empat lokasi menarik perhatian burung adalah di kawasan laluan Bukit Putus, Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun dekat Pantai serta Taman Malaysia atau Taman Tasik Seremban.
"Berbanding tiga lokasi itu, Taman Tasik Seremban (Taman Malaysia) dikenal pasti lokasi terbaharu burung ini singgah membabitkan keseluruhan 111 spesis," katanya selepas sesi taklimat berhubung aktiviti pemerhati burung di Taman Tasik Seremban, di sini, semalam.
Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban (MBS) Datuk Zazali Salehudin dan Presiden Wild Bird Club Malaysia (WBCM), Andy KL Lee. Taklimat anjuran MBS bertujuan berkongsi maklumat bagi mempromosikan Seremban atau Taman Tasik Seremban sebagai destinasi pemerhati burung bagi menarik pelancong. Sulaiman berkata, burung berkenaan datangnya dari pelbagai negara seperti Tanjung Rupat Sumatera, Indonesia, malah lebih jauh dari itu termasuk Korea Selatan dan Jepun, terutama pada musim sejuk antara bulan Oktober hingga Februari setiap tahun.
Beliau berkata, kajian mendapati terdapat lebih 800 spesis burung di seluruh dunia dan jika dapat menarik sekitar 10 peratus daripada spesis berkenaan, ia suatu perkembangan baik untuk sektor pelancongan tempatan.
"NEST adalah kelab pertama di negara ini yang mempromosikan aktiviti pemerhati burung dan kita turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Perbadanan Putrajaya dalam menggerakkan aktiviti ini," katanya. Sementara itu, Zazali menyambut baik usaha itu dan akan berusaha membangunkan segmen memerhati burung di daerah ini sebagai suatu produk pelancongan baharu.
Artikal ini diterbitkan pada : Isnin, 14 Julai 2020 @ 5:29 PM