SILA AMBIL PERHATIAN

Pengenaan kadar cukai taksiran dalam kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Seremban adalah tertakluk kepada Seksyen 127, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang dinyatakan seperti berikut :

“Pihak berkuasa tempatan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, dari semasa ke semasa sebagaimana difikirkan perlu, mengenakan sama ada secara berasingan atau sebagai suatu kadar yang disatukan, kadar atau kadar tahunan dalam sesuatu kawasan pihak berkuasa tempatan bagi maksud Akta ini atau bagi maksud lain yang mana adalah kewajipan pihak berkuasa tempatan itu menyempurnakannya di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang lain.”

Pada masa ini, kaedah yang digunapakai dalam menentukan cukai taksiran ke atas sesuatu pegangan di Majlis Bandaraya Seremban adalah berasaskan kaedah Nilai Tahunan. Nilai Tahunan (anggaran kasar sewa tahunan yang munasabah) akan didarab dengan peratusan kadar yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi mendapatkan cukai taksiran.

Penentuan jumlah peratusan kadar adalah berdasarkan Seksyen 130 (2) yang dinyatakan seperti berikut :

 “(2)  Jika sesuatu kadar atau kadar-kadar ditaksirkan atas nilai tahunan pegangan kadar atau kadar-kadar itu hendaklah tidak boleh lebih daripada tiga puluh lima peratus dari nilai tahunan, iaitu mengenai kadar yang dikenakan di bawah Seksyen 127.”

Jumlah peratusan kadar yang berkuatkuasa pada masa ini telah berkuatkuasa semenjak tahun 1996. Dalam tempoh 28 tahun ini, tiada sebarang kenaikan kadar dilaksanakan oleh pihak MBS. Semua peningkatan kos pembangunan, operasi dan perkhidmatan yang diberikan telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak MBS dan ianya semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Pentadbiran Majlis dengan kelulusan PBN telah membuat keputusan untuk menyelaras semula penetapan kadar sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 130 (2). Penyelarasan ini telah memfokuskan pertambahan kadar untuk keseluruhan harta industri di kawasan pentadbiran MBS. Perkara ini juga telah diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan No. 22 bertarikh 30 Mei 2024. Selain itu, penyelarasan kadar bagi harta industri ini juga turut dilaksanakan di PBT lain di Negeri Sembilan.

Oleh yang demikian, bermula 1 Julai 2024, pihak MBS telah mengambil tindakan sepertimana yang diluluskan oleh PBN ke atas semua harta industri dalam kawasan MBS.

Pihak MBS sentiasa bersedia memberi sebarang penjelasan sekiranya pemilik harta ingin mendapatkan maklumat lanjut atau sebarang pertanyaan berkenaan perkara ini. Tuan/puan boleh hadir ke Ibu Pejabat MBS, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Tingkat 1 Wisma MBS, Persiaran Forest Heights 1 (06-7654758) atau di Pejabat Cawangan Nilai, Tingkat 1, Kompleks Pentadbiran Kerajaan, Persiaran Pusat Bandar Nilai (06-7989008).