Seremban, 2 Mei 2025 – TV3 melalui segmen Aduan Rakyat telah memaparkan aduan di Taman Bukit Senawang Perdana berkaitan kehadiran anjing terbiar, sampah haram dan lembu berkeliaran telah mengganggu penduduk setempat.
Bagi menjawab aduan tersebut, Tuan Ir. Ts. Mohd Kamal bin Mohd Yusof, Setiausaha Majlis Bandaraya Seremban telah turun ke lokasi aduan bagi meninjau permasalahan dengan lebih dekat lagi.
Majlis Bandaraya Seremban mengambil maklum berkenaan aduan tersebut dan isu tersebut bukanlah aduan baharu. Untuk makluman, sebagai langkah kawalan, MBS telah melaksanakan program pemandulan anjing dan tindakan tangkapan secara berterusan. Majlis telah melantik kontraktor bagi kerja-kerja menyelamat dan menangkap anjing terbiar di dalam kawasan Pentadbiran MBS.
Bagi tahun 2025, MBS masih lagi meneruskan Program Galakan Melesenkan Anjing Peliharaan dengan tawaran insentif pemandulan sebanyak RM100.00 kepada pemilik anjing yang mendaftar lesen dan melaksanakan pemandulan. Langkah ini bertujuan menggalakkan pemilik lebih bertanggungjawab disamping mengawal populasi anjing.
Selain daripada itu, bagi masalah lembu berkeliaran terutamanya di jalan utama dan kawasan perumahan. Majlis telah melaksanakan beberapa operasi tangkapan lembu, memberi notis kepada pemilik lembu dan telah mengadakan Jualan Secara Lelongan Awam (Lembu) bagi lembu yang ditangkap secara bidaan. Namun pemilik lembu masih lagi tidak serik dan melepaskan haiwan ternakan tanpa kawalan sehingga menyebabkan kacauganggu serta mendatangkan kecederaan kepada orang awam.
Bagi isu sampah yang dinyatakan pula, perkara ini adalah di bawah bidang kuasa SWCORP dalam mengawal selia dan penguatkuasaan dalam pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam Negeri Sembilan yang telah menerima Akta 672.
Hasil tinjauan mendapati, penduduk tidak membuang sampah ke dalam tong roro yang disediakan oleh pihak pemaju dan menyebabkan kehadiran anjing dan lembu. Sehubungan dengan itu, MBS telah mengarahkan pihak pemaju untuk menyediakan tong roro yang bersesuaian sebelum pihak SWCORP melaksanakan perkhidmatan pembersihan selepas serahan taman selesai dilaksanakan oleh MBS kepada SWCORP.
Secara ironinya, lokasi pembuangan sampah sedia ada bukanlah tidak strategik oleh pihak pemaju tetapi lebih kepada sikap penduduk yang tidak melupuskan sisa ke dalam tong roro tetapi di kawasan sekitar tong tersebut yang menyebabkan punca kehadiran anjing dan lembu di kawasan ini.