PROGRAM PENYERAHAN SIAP PROJEK TABUNG PENYELENGGARAAN PERUMAHAN MALAYSIA (TPPM) TAHUN 2024 OLEH YBHG. DATUK BANDAR MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN KEPADA PERBADANAN PENGURUSAN (MC) RUMAH PANGSA TAMAN MAKMUR, BADAN PENGURUSAN BERSAMA (JMB) RUMAH PANGSA KOS RENDAH TAMAN BUKIT NIBONG DAN BADAN PENGURUSAN BERSAMA (JMB) PANGSAPURI MATAHARI HEIGHTS
Seremban, 30 Disember 2024 – YBhg. Dato’ Masri bin Haji Razali, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban telah menyempurnakan program penyerahan siap projek Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) Tahun 2024 kepada Perbadanan Pengurusan (MC) Rumah Pangsa Taman Makmur, Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Bukit Nibong dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Matahari Heights. Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM) merupakan sebuah program di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membaikpulih, mengganti baru atau menyenggara pangsapuri berstrata kos rendah dan sederhana rendah mengikut skop yang ditetapkan. Kos penyelenggaraan ini dibiayai sepenuhnya oleh KPKT di bawah TPPM dan Majlis Bandaraya Seremban sebagai pelaksana.
Penyerahan siap projek ini merangkumi kerja-kerja menukar bumbung di Rumah Pangsa Taman Makmur, mengecat semula bangunan di Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Bukit Nibong dan menurap semula jalan di Pangsapuri Matahari Heights. Penyerahan siap projek ini bertujuan untuk memberikan penekanan kepada pihak badan pengurusan sebagai pihak yang bertanggungjawab di dalam kawasan pemajuan berstrata agar menjaga penyelenggaraan bangunan berstrata. Selain itu, Warga Bandaraya Seremban terutamanya yang menduduki kawasan pemajuan berstrata dinasihatkan agar membayar caj penyenggaraan agar kerja-kerja penyelenggaraan bangunan, harta bersama dan kebersihan dapat dijaga dengan baik oleh badan pengurusan.
Turut hadir, Encik Rosslan bin Hassan dan Encik Mohamad Fadil bin Md Zin, Ahli Majlis MBS, Tuan Mas Midyawan bin Yahya, Setiausaha MBS, Ketua Jabatan/Unit MBS dan Pegawai/Kakitangan MBS.