Bagaimana Jika Saya Tidak Mendapat Bil Cukai Taksiran?

  • Anda boleh mencetak bil cukai taksiran melalui perkhidmatan atas talian, klik Semakan Online

  • Anda juga boleh ke kaunter utama pejabat MBS dan berhubung dengan Jabatan Kewangan. Anda hendaklah membawa salinan bil cukai taksiran yang terdahulu atau nombor akaun bil cukai taksiran untuk mendapatkan cetakan bil yang terkini. Sekiranya anda tidak pasti nombor akaun bil tersebut, sila bawa bersama butir-butir harta bagi membolehkan semakan dibuat.

Tindakan Sekiranya Cukai Tidak Dijelaskan?

Tarikh bayaran untuk mengelakkan denda adalah setengah tahun pertama mulai 1 Jan hingga 28 Feb dan setengah tahun kedua mulai 1 Julai hingga 31 Ogos pada setiap tahun. Pemilik akan dikenakan bayaran Kos Notis E sebanyak RM20.00 sepenggal dan bayaran penuh perlu dijelaskan selepas 15 hari notis tuntutan dikeluarkan. Jika masih tidak membayar, waran tahanan akan dikeluarkan selaras dengan Seksyen 148 (4), Akta 171.

Notis Jualan Atau Pindah Milik?

Mengikut Seksyen 160, Akta 171, apabila sesuatu pegangan berkadar dalam sesuatu kawasan Majlis dijual atau dipindah milik, pembeli atau penerima perlu membuat pindah milik dalam tempoh 3 bulan selepas jualan atau pindah milik, notis mengenainya harus diberi kepada Majlis dalam Borang Tukar Nama Pemilik Harta yang boleh didapati di kaunter semakan cukai taksiran di pejabat Majlis. Dokumen-dokumen yang diperlukan ialah salinan geran terkini / surat perjanjian atau Borang 14A, salinan cukai taksiran terkini dan salinan kad pengenalan. 

Bilakah Bil Cukai Taksiran Dihantar?

Bil cukai taksiran akan dihantar kepada pemilik selewat- lewatnya pada minggu kedua bulan Januari untuk setengah tahun pertama dan juga selewat- lewatnya minggu kedua bulan Julai untuk setengah tahun kedua. Jika bil-bil tersebut tidak diterima di dalam bulan tersebut maka pemilik bolehlah datang sendiri di Majlis. Pemilik yang tidak menerima bil terbaru dikehendaki membawa bil lama atau nombor akaun harta atau alamat harta.

Mengapa Cukai Taksiran Perlu Dibayar Sedangkan Rumah Saya Tidak Menerima Sebarang Perkhidmatan Pengangkutan Sampah, Kemudahan Laluan / Jalan, Penyediaan Lampu Jalan, Longkang, Parit, Dan Sebagainya Oleh Majlis?

Walaupun anda tidak menerima sebarang perkhidmatan dari majlis seperti yang disebutkan di atas, namun membayar cukai tetap menjadi tanggungjawab anda sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 146, Akta 171. Sekiranya tidak dibayar kadar tersebut boleh dianggap sebagai tunggakan sebagaimana di dalam Seksyen 147 (2), Akta 171 dan Tunggakan tersebut boleh dituntut dengan cara sebagaimana digariskan di dalam Seksyen 148, Akta 171.